TUN MAHATHIR : SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS

(SAYA TERTARIK DENGAN PENJELASAN YANG DIBUAT OLEH Y.A.BHG. TUN DR MAHATHIR MOHAMAD MENGENAI KEPERLUAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (DALAM BLOG CHE DET). SAYA MEMINJAM ARTIKEL INI DALAM BLOG SAYA UNTUK KITA KONGSIKAN BERSAMA)

 

1. Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya.


2. Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum.


3. Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya bediri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.

 

4. Kita diberitahu Nabi bersabda “Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China”. Apakah dapat orang Arab tuntut ilmu orang Cina tanpa mempelajari bahasa Cina, lisan dan tulisan, terlebih dahulu?


5. Kita juga tahu orang Arab telah menguasai ilmu Sains, Matematik dan falsafah yang diterokai oleh orang Yunani (Greek) dan menterjemahkan ilmu-ilmu ini ke dalam bahasa Arab sebelum kaji selidik dilakukan untuk memperluaskan ilmu-ilmu ini.


6. Semasa bangsa-bangsa yang beragama Islam iaitu Arab, Turki, Uzbek dan lain-lain berjaya bangunkan tamadun Islam yang gemilang, bangsa-bangsa Eropah berada “di zaman gelap”, zaman mereka tidak berilmu dan percaya kepada kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam.


7. Pada abad ke-15 Masehi, orang Eropah yang berkurun-kurun kagum dengan tamadun orang Islam mula sedar akan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi yang dimiliki orang yang berbahasa Arab serta sumbangan ilmu-ilmu ini kepada tamadun gemilang Islam. Paderi-paderi Kristian Eropah belajar bahasa Arab untuk mendapat akses kepada ilmu-ilmu yang berada dalam kutub-khanah milik Arab dan orang Islam lain.


8. Mereka mempelajari semua ilmu-ilmu ini dalam bahasa Arab dan menterjemahkan kedalam bahasa Latin, dan kemudian kepada bahasa-bahasa Eropah. Kemudian mereka pula membuat kajian dan memperluaskan semua ilmu-ilmu ini. Maka terdirilah tamadun Eropah yang terus maju hingga ke zaman sekarang.


9. Yang jelas daripada sejarah ialah penguasaan ilmu yang ada pada bangsa lain bermula dengan penguasaan bahasa bangsa-bangsa ini.


10. Apakah kita tidak mungkin mengadakan segelintir daripada orang Melayu mempelajari bahasa ilmu di zaman ini, iaitu bahasa Inggeris supaya mereka dapat menterjemahkan ilmu-ilmu ini kepada bahasa Melayu. Dengan itu orang Melayu lain boleh kuasai ilmu-ilmu ini dalam bahasa Melayu, tanpa mempelajari bahasa Inggeris.

11. Malangnya keadaan sekarang tidak seperti abad ke-15 dan sebelumnya. Ilmu di zaman dahulu terhad, dan tidak bertambah dengan pesat.


12. Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik yang amat penting untuk membangun dan memajukan masyarakat manusia, kembang dan bertambah dengan pesatnya. Tiap hari, tiap bulan dan tiap tahun ilmu baru yang diperbaharui sepanjang masa, diperkenalkan oleh para saintis dan pengkajiselidik kepada masyarakat dunia. Ilmu matematik terutama algorizmi dan perhitungan yang kompleks digunakan untuk mengetahui apa hasil jangka panjang daripada sesuatu teori dan untuk menentukan gerakan bintang di langit supaya kapal angkasa dapat menemui sasaran setelah berjalan berbulan-bulan.


13. Dimasa yang sama banyak ilmu baru diperkenalkan yang berasas kepada kuasa elektrik, gerakan atom, sains halus atau nano science, asas-asas fisiologi kehidupan tumbuh-tumbuhan dan makhluk Allah dan berbagai-bagai lagi.


14. Hakikatnya ialah jumlah ilmu baru dan kepantasan perkembangannya tidak dapat dikejar oleh penterjemah Melayu yang sedikit yang ada. Harus diingat untuk menterjemah tiap ilmu khusus dalam bidang Sains memerlukan bukan sahaja kefasihan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga kepakaran dalam ilmu berkenaan. Kita tidak punyai dengan mencukupi orang yang berkebolehan seperti ini. Jika ada beberapa kerat orang seperti ini mereka tidak mungkin sanggup bekerja sebagai penterjemah seumur hidup mereka.


15. Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.


16. Sesungguhnya agama kita menuntut supaya kita kuasai ilmu-ilmu ini. Sebagai orang Islam kita perlu bersedia untuk mempertahankan umat Islam. Di zaman dahulu kuda perang, pemanah, pedang dan tombak memadai untuk pertahanan.


17. Di zaman ini kita perlu kereta perisai, meriam dan roket, pesawat pejuang dan pengebom, kapal perang dan kapal selam. Kita tak mungkin cipta dan bina semua ini tanpa ilmu sains dan matematik. Kita boleh beli daripada orang lain tetapi ini bermakna kita letak diri kita di bawah cengkaman mereka.


18. Jika kita ingin amal ajaran Al-Quran berkenaan dengan keperluan pertahanan bagi umat Islam maka penguasaan ilmu sains dan matematik perlu menjadi sebahagian daripada fardhu kifayah bagi kita. Ia bukan ilmu sekular seperti diperkata sesetengah orang. Ia adalah sesuatu yang diwajib keatas diri kita.


19. Jika kita abaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih utamakan bahasa kita, dan dengan itu kita jadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita tidak boleh dakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama. Orang yang rela bangsanya dihina tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.


20. Bagi saya pejuang bangsa yang betul-betul bersemangat perlu bermatlamat untuk menjadikan bangsanya bermaruah, dihormati oleh semua bangsa lain dan berkebolehan bersaing dalam apa juga bidang dengan kemungkinan berjaya.


21. Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti kata sebenar.


22. Bahasa jiwa bangsa. Tetapi ilmu menentukan keselamatan dan maruah bangsa.

4 Responses to “TUN MAHATHIR : SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS”

  1. Orang Sementa Says:

    Salam…

    Terimakasih saudara Khairul kerana menengahkan isu pengajaran matematik & sains dalam Bahasa Inggeris (English). Sebelum itu izinkan saya menerangkan asal usul saya iaitu saya lahir, membesar, bersekolah rendah dan menengah di Kapar. Datuk, nenek, jiran, sahabat cina dan india semua berbahasa Malaysia. Saya berbahasa Inggeris hanya semasa di kelas English, itu pun terkial2….(grammatical error)

    Tetapi saya berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke Universiti dan berjaya memperolehi ijazah sarjana. Sehingga sekarang tempat saya bekerja pun adalah dikalangan expatriate dari seluruh pelusuk dunia. Namun begitu, saya berjaya berkomunikasi dan mengeluarkan arahan kepada mereka tanpa sebarang masalah walaupun saya asalnya budak KAPAR.

    Apa yang saya hendak ceritakan disini adalah tidak semestinya hanya pengajaran dalam bahasa inggeris itu membolehkan seseorang berjaya, mendapat ilmu dan dapat berinteraksi dengan orang lain. Walaupun cara Tun adalah seperti satu cara yang memaksa tetapi tolonglah kasihan pada mereka yang duduk dikampung dimana “Mother Tongue” mereka adalah bahasa melayu, jawa atau banjar. Peratus mereka yang memahami istilah Math & Science amatlah sedikit.

    Ramai pembesar, menteri, usahawan yang begitu sedikit vocabulary mereka tetapi mereka berjaya. Lihat sahaja Jepun dan China, dengan bahasa mereka dapat membina tamadun yang gemilang.

    Percayalah kepada “BAHASA JIWA BANGSA”, jangan disebabkan politik kita merosakkan bahasa dan bangsa. Harap Saudara Khirul dapat menengahkan isu ini di perwakilan Bahagian.

  2. Khairul Says:

    Salam Orang Sementa,

    Setinggi syabas dan tahniah kepada sdr, kerana sdr merupakan salah seorang anak Melayu yang berjaya menjadi modal insan kebanggaan, bukan sahaja kepada keluarga juga kepada banhgsa melayu/islam seluruhnya atas pencapaian sdr. Secara peribadi saya tumpang berbangga, blog saya dikunjungi oleh insan educated seperti sdr.

    Sdr, saya juga asalnya seperti sdr. Saya sekolah di kampung dan hanya belajar bahasa inggeris di sekolah sahaja. Mungkin payah sangat saya nak memahirkan bahasa inggeris, maklumlah lidah jawa tebal. Sehingga hari ini saya masih lemah dalam bahasa antarabangsa tersebut, mujur saya berpeluang belajar di UiTM, bolehlah belajar meningkatkan kemahiran sedikit. Di pejabat saya dipilih untuk menganggotai Toasmaster Club, dapat juga tambah sedikit pengetahuan dalam bahasa inggeris.

    Saya sedang rasa kepayahannya, kerana kelemahan menguasai inggeris, saya bangga dengan sdr, kerana sudah mampu menguasai dan mengarahkan orang inggeris dari seluruh dunia yang bekerja bersama saudara, lebih saya bangga sdr sudah menguasai penjajah, yang dulu menguasai kita. Syabas sekali lagi.

    Ketika awal sains dan matematik dikenalkan dalam bahasa inggeris, saya ketika itu adalah EXCO Pemuda UMNO Bahagian Kapar. Saya adalah orang yang kuat menentang. Saya mengkritik semaunya, kerana bagi saya anak-anak Melayu masih lemah dalam sains dan matematik yang diajar dalam bahasa Melayu, ini pula diajar dalam inggeris, bahasa yang mereka tidak faham.

    Namun hari ini baru saya sedar betapa perlunya ia diajar dalam bahasa inggeris. yang penting bukan subjek tersebut, tetapi ia secara tidak langsung menjadikan anak-anak melayu tidak punya pilihan, mereka mesti mahir dalam bahasa inggeris untuk menguasai 2 sunjek teras tersebut. Saya yakin memang payah perkara itu, tetapi percayalah sdr, orang melayu perlu dipaksa untuk lakukan sesuatu, baru mereka boleh menghasilkan sesuatu yang terbaik. Saya percaya, sdr melalui semua itu, dan hari ini sdr bagi saya sangat berjaya.

    Mungkin sdr pernah ingat bagaimana tentangan orang cina bila sains dan matematik diajar dalam bahasa inggeris. Tapi tahukah saudara, dalam mereka menentang, TADIKA inggeris dipenuhi oleh anak-anak cina. saya terkejut dengan keadaan ini, kerana ketika saya menghantar anak saya ketadika inggeris, majoriti murid-muridnya adalah berbangsa cina seawal usia 4 tahun. Cuba sdr bayangkan, perang psikologi cina. mereka menentang, tetapi dalam diam mereka menghantar anak-anak mereka ke TADIKA inggeris. Melayu menentang dan boikot TADIKA inggeris. Akhirnya melayu yang tercicir, cina akan terus menguasai ekonomi negara dan dunia.

    Apapun, saya bersyukur, kini kesedaran telah meningkat di kalangan Melayu, TADIKA inggeris mula bangsa kita monopoli. Percayalah Sdr. Rasullullah SAW lalui berbagai kepayahan untuk mengembangkan Islam, alhamdulillah hasilnya Islam unggul hingga hari ini. Biar kita susah sekarang, insyaallah saya sangat yakin bangsa dan agama kita akan lebih unggul satu hari nanti.

    Wassalam.

  3. awang Says:

    Mahathir terus berpuas hati sekadar masih boleh berbahasa Melayu. Itukah saja martabat bahasa Melayu pada Mahathir. Alangkah naifnya. Tak boleh kah bahasa Melayu dipencakkan sehebat-hebatnya di persada dunia, atau hanya bahasa Inggeris sahaja layak berbuat sedemikian. Lalu Sains dan Matematik pun berbahasa pengantar bahasa Inggeris. Dia seorang saja berpendapat begitu, cerdik pandai lain tidak setuju pun. Kenapa Mahathir tidak menyerang terlebih dahulu dalam membela bahasa Melayu, tetapi rela biarkan bahasa Melayu terus terancam dan lebih parah beliau sendiri melumpuhkan BM dalam PPSMI.

  4. Führer Says:

    Khairul,
    Anda lemah bahasa inggeris kerana anda tidak atau jarang belajar bahasa inggeris ketika di sekolah,bukannya kerana sains dan matematik diajar dalam bahasa melayu.

    Mana-mana bangsa di dunia pun hatta bangsa Jerman dan Jepun pun belajar bahasa inggeris,tetapi mereka sama sekali tidak menggunakan BI untuk kelasa sains dan matematik kerana ia melibatkan pemahaman mengenai alam.

    Dalam kes PPSMI ini,kesemuanya telah diingeriskan dalam sisitem pendidikan negara kita.Ini yang ditentangoleh anti-PPSMI,mereka menentang medium untuk memahami sains dan matematik bukannya menentang BI.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: