MAC 2009 – DETIK BERSEJARAH UMNO

Setelah sekian lama tidak dipertandingkan, akhirnya Mac 2009 bakal menyaksikan semua kerusi Majlis Tertinggi UMNO Malaysia menyaksikan pertandingan sengit antara tokoh dan para pemimpin UMNO bagi mengisi kekosongan kerusi-kerusi tersebut. Persaingan paling menarik pastinya memfokus kepada kerusi PRESIDEN UMNO, TIMBALAN PRESIDEN UMNO DAN 3 NAIB PRESIDEN UMNO serta kemunculan pemimpin-pemimpin muda yang menawarkan diri sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

 

Saya melihat senario ini sebagai sesuatu reform paling menarik dalam sejarah pemilihan anggota Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Lebih membanggakan saya, kemunculan dan keberanian pemimpin-pemimpin muda yang menawarkan diri, memberi isyarat bahawa UMNO sudah cukup bersedia untuk bangkit mendepani cabaran getir yang sedang menanti dihadapan, disamping ia merupakan satu proses tranformasi sihat yang sedang dilalui oleh UMNO.

 

Cuma harapan saya, jangan ada hendaknya proses pujuk memujuk dan tekanan dari mana-mana pihak yang cuba menghalang atau memaksa calon-calon menarik diri dari menyertai persaingan tersebut. Biarkanlah calon-calon melalui cabaran pertama dalam persaingan, sebelum mereka memikul amanah besar untuk menggempur cabaran lain yang lebih getir dan mencabar.

 

Isu-isu seperti pertandingan boleh melemah dan memecah belahkan UMNO sudah menjadi alasan lapok yang sudah tidak lagi rasional untuk digembar-gemburkan. Tempoh sekian lama tanpa pertandingan juga menyaksikan UMNO berpecah. Bagi saya soal perpecahan itu sebenarnya bukan kerana pertandingan, tetapi kerana sikap rakus sebahagian pemimpin UMNO yang tidak sedar diri dan lebih mementingkan peribadi.

 

Apapun persaingan kali ini pasti menarik dengan kedudukan yang hampir pasti Dato’ Seri Najib bakal menawarkan diri sebagai PRESIDEN UMNO. Hampir pasti beliau akan dicabar oleh tokoh lama dalam politik UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah. Soal mana lebih berwibawa, terpulang pada perwakilan kelak. Bagi saya kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, Cuma sedikit kelebihan pada Dato’ Seri Najib, beliau Timbalan Perdana Menteri dan mempunyai perancangan politik yang sangat strategik, selain memiliki rangkaian hubungan yang akrab dengan dunia luar. Harus diingat, Presiden UMNO, bakal ditabal menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya percaya, kredibiliti Dato Seri Najib jika ditabal sebagai Perdana Menteri, mampu mengembalikan semula kekuatan UMNO dan sokongan kepada Barisan Nasional. Wibawa Najib cukup terserlah, beliau pernah ditabal sebagai Menteri Besar paling muda di negeri Pahang dan rentetan pengalamannya meniti perjuangan parti sangat berharga dan menjadi asas mantap untuk mengemudi Negara.

 

Saya juga yakin, wibawa Najib sebagai Perdana Menteri kelak mampu menggentarkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kerana itu, sebelum ini Najib diserang habis-habisan oleh Anwar dengan tujuan untuk menjatuhkannya, kerana Anwar sedar, Najib bukan sembarangan ahli politik. Terbukti serangan Anwar tumpul dan Najib masih kebal dengan kedudukannya, malah bakal mengambil alih teraju kepimpinan Negara.

Selain persaingan kerusi Presiden UMNO, persaingan Timbalan Presiden UMNO juga dilihat jauh lebih menarik perhatian perwakilan. Kerusi yang lazimnya bakal menobatkan Timbalan Perdana Menteri ini, dikhabarkan sudah diintai oleh 4 orang calon setakat ini. Yang sudah awal-awal menawarkan diri ialah Dato’ Haji Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nur Jazlan Mohamad (anak Tan Sri Mohammad Rahmat), dan dijangka turut serta dalam persaingan ini ialah dua orang tokoh yang pernah belayar sekapal dalam ‘Team Wawasan’, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Perdagangan Antarabangsa. Saya belum berminat untuk membuat analisis terhadap keempat-empat pemimpin ini, walaupun sudah tergambar difikiran saya sejauh mana kemampuan calon-calon ini. Biarlah mereka semua mengesahkan dulu penyertaan mereka dalam pertandingan ini.

 

Tiga kerusi Naib Presiden UMNO juga turut menjadi rebutan. Dikhabarkan semakin ramai calon yang menawarkan diri. Antara yang disebut-sebut ialah Datuk Seri Ali Rustam (penyandang jawatan), Tan Sri Isa Samad akan membuat ‘comeback’, Tan Sri Rahim Tamby Chik, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Dato’ Seri Shahidan Kassim, Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein dan beberapa nama lagi yang akan menawarkan diri.

 

Secara peribadi, saya sangat puas melihat perkembangan terkini pemilihan pucuk pimpinan Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Inilah satu perkembangan sihat dalam menyuburkan proses demokrasi dalam UMNO. Adalah sangat diharapkan agar pemilihan semua jawatan ini akan berterusan sampai bila-bila tanpa ada sebarang usul atau sekatan untuk pengecualian pertandingan. Biarlah akar umbi yang menentukan tampuk kepimpinan UMNO, jangan lagi Majlis Tertinggi menjadi penentu siapa Presiden dan Timbalan Presiden. Hormati hak ahli, kerana mereka mampu menentukan kepimpinan hebat UMNO.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: