Archive for October, 2008

KHIR TOYO LEPASI PENCALONAN KETUA PEMUDA

October 29, 2008

Persaingan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kembali hangat, apabila ketiga-tiga calon yang menawarkan diri telah melepasi pencalonan masing-masing. Ketika catatan ini ditulis, jumlah pencalonan yang diperolehi oleh ketiga-tiga calon adalah seperti berikut :

• Datuk Mukhriz Mahathir – 67 pencalonan
• Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo – 47 pencalonan
• Khairy Jamaluddin – 47 pencalonan

Sekali pandang Datuk Mukhriz dilihat mempunyai peluang cerah untuk mengungguli jawatan tersebut, namun apa yang pasti segalanya mampu berubah ketika proses pemilihan berlaku pada Mac 2009 akan datang. Sejarah pemilihan UMNO wajar diingati selalu, bahawa pencalonan tertinggi bukan jaminan kemenangan calon, kerana akhirnya nanti perwakilan bakal menetukan siapakah calon yang paling layak untuk memimpin sayap kanan UMNO itu.

Secara peribadi saya memilih Dato’ Seri Dr. Khir Toyo sebagai individu paling layak untuk memimpin Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Pengalamannya sebagai Menteri Besar Selangor selama 2 penggal wajar dijadikan pertimbangan oleh para perwakilan untuk menentukan kerusi nombor satu pemuda itu. Wawasan dan gerak kerjanya yang agresif dan produktif di Selangor boleh dijadikan kayu pengukur oleh perwakilan pemuda untuk menjadikan Dr. Khir sebagai pemimpin mereka. Kekuatannya berhadapan dengan tohmahan rakan dan lawan menjadikan beliau seorang yang sangat tabah mengharungi sepak terajang polityik arus perdana, bukan sahaja di negeri Selangor, malah di Negara ini.

Perwakilan pemuda juga harus sentiasa mengingati, bahawa Dr. Khir Toyo merupakan Ahli Majlis Tertinggi yang memperolehi undian tertinggi dalam pemilihan UMNO yang lepas. Keupayaannya meyakinkan perwakilan ketika itu, banyak disokong oleh kecemerlangannya memimpin Selangor dan ketegasannya berhadapan dengan karenah pembangkang di Selangor. Perwakilan pemuda juga harus kagum dengan kesungguhan beliau merealisasikan visi ke arah pembangkang sifar di Selangor. Usahanya itu harus dibanggakan, dimana dalam PRU11, pembangkang hanya mampu memperolehi 2 kerusi sahaja di DUN Selangor iaitu di DUN Sg. Pinang dan Sekinchan oleh DAP.

Keputusan PRU12 tidak boleh dijadikan kayu pengukur oleh perwakilan dalam menilai kegagalan Dr. Khir Toyo. Tsunami politik yang melanda Negara ketika itu adalah banyak bergantung kepada isu-isu nasional. Namun pembangkang cuba memanipulasikan isu tersebut dengan kelemahan-kelemahan pengurusan di Selangor.

Bagi saya, Dr. Khir Toyo punyai banyak kelebihan berbanding kelemahan beliau. Saya sangat yakin beliau mampu membawa Pemuda Malaysia ke dimensi baru dalam kepimpinan Pemuda. Pengalaman berharga yang beliau miliki selama ini jelas membuktikan bahawa beliau mempunyai sesuatu yang sangat berharga untuk disumbangkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Selamat berjuang Dr. Khir Toyo. Sesungguhnya tawaran kepimpinan yang Dr. Khir ingin sumbangkan kepada pergerakan pemuda diharap mampu mengembalikan sengat pemuda mendepani cabaran yang sedang mendatang.

Salam Perjuangan.

Advertisements

NAJIB, MUHYIDDIN & MAT TAIB MESTI BERSATU….

October 22, 2008

Mat Taib...pejuang Melayu sejati....

Mat Taib...pejuang Melayu sejati....

 

Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pemimpin paling taat dan setia kepada survival perjuangan UMNO dan Melayu. Pernah berada dipersada terbaik. Dilabel sebagai Menteri Besar Selangor paling produktif dan inovatif ketika mengetuai Negeri Selangor. Membangunkan Selangor dengan seimbang, malah Selangor Maju 2005 juga adalah wawasannya ketika itu.

Tan Sri Muhammad atau lebih dikenali di kalangan rakan-rakan politik sebagai Mat Tyson, pernah berkelana sendirian tanpa sebarang jawatan dalam UMNO. Bukan disingkir, namun beliau melepaskan segala jawatan dan kepentingannya dalam UMNO, kerana kesilapannya sendiri yang tanpa sedar dilakukannya. Mat Tyson bertindak melepaskan semua jawatannya, atas dasar tanggungjawabnya dan taat setianya kepada UMNO kerana tidak mahu melihat kerana beliau seorang, boleh menjejaskan parti kesayangannya itu.

Tinggalkan semua kemewahan dan jawatan dalam UMNO bukan bermakna mat Tyson meninggalkan UMNO terus. Wibawa dan aura kepimpinannya pernah ditagih oleh pembangkang ketika beliau tiada sebarang jawatan dalam UMNO. Namun Mat Tyson bukan pemimpin murahan yang sanggup menjual maruahnya dan menggilakan jawatan lain. Taat setianya tetap bersama UMNO, katanya “ada ketikanya kita menjadi imam dan ada ketikanya kita menjadi makmum”, “bila kita menjadi imam, jadilah imam yang baik dan bila kita menjadi makmum, jadilah makmum terbaik”.

Atas prinsip itu dan ketebalan semangatnya memperjuangkan nasib bangsanya, Mat Tyson pernah mengerah lebih 10,000 warga pemuda UMNO berhimpun di Stadium Jalan Raja Muda (Stadium TPCA), bagi membalas tindakan yang dibuat oleh ahli Dong Jiau Zong yang telah mengerahkan seramai 2000 ahlinya berhimpun di Wisma Persatuan Hainan bersebelahan Tokong Thian Hou di Kuala Lumpur  pada 11 Oktober 1987dan mereka mencadangkan murid-murid boikot cina sekolah selama 3 hari. Namun akhirnya perselisihan ini terlerai gara-gara Operasi Lalang (Ops Lalang).

Menang kalah dalam persaingan politik bagi Mat Tyson satu perkara biasa. Beliau pernah menyertai persaingan dalam merebut jawatan Naib Presiden sebanyak 4 kali, menang 3 kali dan tewas sekali. Beliau pernah membina kekuatan bersama Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin melalui Team Wawasan yang sangat mantap dan sukar digugat serta berjaya membantu memperkukuhkan kedudukan UMNO. Gandingan mantap ini mengungguli kepimpinan UMNO ketika Tun Mahathir menjadi Presiden.

 

Gandingan mantap...disegani kawan dan lawan....

Gandingan mantap...disegani kawan dan lawan....

 

Kini segala-galanya mungkin berbeza. Team Wawasan hanya tinggal kenangan. Bukan berpecah, kerana mereka tak punya pilihan, jawatan yang ditawarkan hanya satu untuk Presiden dan satu Timbalan Presiden. Hanya memerlukan dua orang. Mat Tyson tak punya pilihan, mahu atau tidak beliau terpaksa bersaing bersama Tan Sri Muhyiddin untuk menduduki kerusi nombor 2 dalam UMNO. Kerusi-kerusi Naib Presiden sudah selayaknya diberikan kepada pemimpin muda yang lebih agresif untuk menggerak dan memantapkan UMNO, ia selayaknya untuk Dato’ Hisham, Dato’ Zahid dan Dato’ Shafie Apdal.

Secara peribadi bagi saya, itu hak setiap mereka untuk menawarkan diri dan bertanding. Namun saya masih sayangkan gandingan mantap Team Wawasan. Sebolehnya saya mencadangkan pada Dato’ Seri Najib agar memikirkan sesuatu agar kalian tidak wajar berpisah. Gandingan kalian digeruni kawan dan lawan. Bersatulah…walaupun bukan lagi atas nama Team Wawasan, tetapi saya percaya, bahawa masih ramai yang mengharapkan Najib, Muhyiddin dan Mat Taib kembali bergandingan mencorakkan UMNO, membela Melayu dan meletakkan Malaysia dipersada dunia.

TUN MAHATHIR PEMIMPIN AGUNG

October 21, 2008

 

Tun Mahathir...Lagenda Pemimpin Agung

Tun Mahathir...Lagenda Pemimpin Agung

Tun Dr. Mahathir ada hak untuk menegur karenah dan gelagat pemimpin UMNO yang sedang menawarkan diri untuk merebut berbagai jawatan yang sedang dipertandingkan. Beliau berhak, kerana Tun memimpin UMNO sebagai Presiden hampir 23 tahun. Tun sangat masak dan faham dengan sepak terajang UMNO.

 

Soal Tun bukan ahli UMNO bukan isunya. Tun keluar UMNO tetapi masih sensitive dengan setiap apa yang terdetik dalam UMNO. Ini menunjukkan bahawa Tun seorang yang sangat perihatin dengan parti bangsa Melayu ini. Keluar Tun dari UMNO bukan bermakna Tun melupakan terus UMNO. Ini sikap yang kita mahukan kepada setiap ahli UMNO, keluar UMNO bukan terus tinggalkan begitu sahaja, atau lebih haprak lagi, keluar UMNO lalu menyertai pembangkang dan mula menghentam UMNO, seolah-olah dialah insan paling mulia, sedangkan ketika dalam UMNO, karenah dan sikapnya sangat menjijikkan.

 

Ada juga yang bila keluar UMNO tidak menyertai pembangkang, tetapi buat-buat baik dengan mereka sambil menyalurkan maklumat dalaman UMNO dan kerajaan. Manusia seperti ini kalau mengikut kawan saya, “kalau jumpa ular dan manusia begini serentak, pukul dulu manusia ini, biarkan sahaja ular tu lari, kerana manusia ini lebih bahaya dari ular”.

 

Tun Mahathir sekadar mengkritik dan memberi pandangan. Beliau tidak mencatur sesiapa untuk kepimpinan Negara. Percayalah bahawa Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin punyai aura kekuatan tersendiri untuk mengepalai Malaysia, namun adalah lebih baik, sesekali mereka meminta pandangan dan nasihat dari Tun, kerana Tun seorang Perdana Menteri paling berkaliber dalam sejarah Malaysia dan gaya fikirnya melampaui zaman serta dihormati oleh kawan dan lawan, dalam dan luar Negara. Tiada salahnya meminta pandangan Tun, bertanya pada yang layak bukan menjatuhkan maruah manusia, malah ia sangat dituntut, kerana itu juga merupakan satu proses menuntut dan meningkatkan ilmu.

 

Tun punyai pakej pemimpin agung. Megahnya Malaysia pada hari ini, tidak dinafikan hasil dari kerja-kerja seorang lulusan perubatan ini mampu diiktiraf sebagai  The Best Arcitect in the world, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kehebatannya menjadikan ia dimusuhi, namun Tun sangat tabah mengharungi kehidupannya selepas ‘bersara’ sebagai Perdana Menteri. Pastinya Tun tidak mahu, kecemerlangan yang telah dibenanya, diruntuhkan oleh pewarisnya, khususnya oleh bangsanya sendiri, kerana itu Tun selalu menegur dan mengingatkan anak-anak didiknya agar tidak keluar dari landasan yang telah disediakan. Teguran dan kritikan Tun bukan kerana beliau bencikan pemimpin yang ada, tetapi Tun sekadar ingin memastikan Negara dan bagsanya terus unggul dimata dunia. Tun ikhlas dalam setiap tingkah dan tindakannya. Tun sudah tidak mahu menangis lagi kerana sikap bangsanya yang disayangi.

 

Terima Kasih Tun Dr. Mahathir Mohamad.

SIAPA NAK TARIK DIRI

October 17, 2008

 

Persidangan UMNO Bahagian Kapar bakal diadakan pada 2 November 2008 di Hotel Goldcourse, Klang. Semakin hampir tarikh persidangan tersebut, sebagaimana yang dijangka, proses perundingan turut bermula. Perundingan yang dimaksudkan ialah, setiap calon yang menawarkan diri, dari setiap DUN di Bahagian Kapar, diminta berunding sesama sendiri bagi menentukan siapa yang wajar diberi laluan untuk mewakili DUN tersebut.

 

Sekali pandang, Nampak macam bagus, namun ada pro dan kontranya. Bagi calon lama, kalau boleh mereka masih bernafsu untuk kekal dalam barisan jawatankuasa. Bagi calon-calon baru dan muda mereka terpanggil, inilah masanya untuk mengerah sepenuh keringat bagi membantu memperkukuhkan kembali UMNO dan Barisan Nasional, lebih-lebih lagi bagi menghadapi PRU13. Yang menjadi persoalannya sekarang, siapa yang mahu menarik diri bagi memberi laluan kepada orang lain. Saya kemukakan TIGA soalan untuk kita bincang bersama secara matang dan rasional :

 

SOALAN 1 : ORANG LAMA BERUNDUR UNTUK MEMBERI LALUAN KEPADA TENAGA MUDA DAN BARU

 

SOALAN 2    : MENGEKALKAN ORANG-ORANG LAMA UNTUK KEKAL SEBAGAI JAWATANKUASA

 

SOALAN 3    : MENGGANDINGKAN MUKA LAMA DAN BARU DALAM JAWATANKUASA

 

Walaupun perundingan kelak telah berlaku, adalah tidak wajar untuk kita menetapkan bahawa calon yang tidak tersenarai dalam ‘cai kerajaan’ diminta untuk menarik diri dan didesak untuk tidak bertanding, kerana tindakan demikian merupakan satu kesalahan. Menawarkan diri dan bertanding merupakan hak setiap ahli UMNO yang layak berdasarkan perlembagaan UMNO. Sehubungan itu, bagi yang memberi laluan nanti, biarlah mereka meneruskan pertandingan sebagaui calon-calon swasta. Saya yakin soal menang atau kalah bukanlah perkara pokoknya, namun biarlah demokrasi itu terus subur dalam UMNO disamping menghargai pencalonan yang telah dibuat oleh cawangan-cawangan.

 

SELAMAT BERSIDANG…UMNO dulu, kini dan selamanya….

KERUSI PARLIMEN KAPAR UNTUK UMNO…?????

October 13, 2008

 

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kapar yang bersidang pada 10 Oktober 2008 mendesak agar pada pilihanraya akan datang, Kerusi Parlimen Kapar diserahkan kepada calon UMNO.

 

Desakan itu dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kapar yang baru, Tuan Haji Roslee Abd. Hamid ketika membentangkan Usul Politik yang dibawa oleh Pergerakan Pemuda. Serentak dengan itu, seluruh perwakilan pemuda telah bangun dan menyambut desakan tersebut dengan tepukan gemuruh dan laungan ‘Hidup UMNO’.

 

Perwakilan mengundi memilih calon AJK Pemuda Bahagian

Perwakilan mengundi memilih calon AJK Pemuda Bahagian

“Kita mendesak bukan sekadar suka-suka, tetapi kita mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian. Kita yakin calon UMNO mampu merampas kembali Kerusi Parlimen Kapar dari tangan pembangkang” kata Haji Roslee ketika mempertahankan desakannya.

 

Antara alasan yang dikemukakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO ialah :

 

1)    Untuk memastikan kuasa dan kerajaan Melayu di Parlimen Malaysia lebih mantap dan terjamin.

 

2)    Analisis Pemuda Kapar mendapati bahawa undi Melayu di Parlimen Kapar lebih konsisten di setiap saluran berbanding undi Cina dan India.

 

3)    Jumlah pengundi di Parlimen Kapar mencatatkan peratusan pengundi Melayu sebanyak 57 % berbanding India yang hanya sebanyak 12 % sahaja.

 

4)    Kegagalan Ahli Parlimen dari parti komponen dalam memberikah khidmat yang terbaik kepada pengundi.  Wakil Rakyat hanya muncul pada waktu-waktu tertentu dan ketika hampir dengan pilihan raya sahaja.

 

5)    Kajian sikap yang dibuat sebelum pilihan raya, menunjukkan para pengundi India dan Cina lebih tertarik untuk menyokong calon-calon yang didatangkan dari UMNO atas alasan mereka lebih mudah berurusan dengan Wakil Rakyat UMNO dalam satu-satu perkara.

 

Seluruh perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kapar menyokong penuh usul tersebut.

TUN MAHATHIR : SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS

October 10, 2008

(SAYA TERTARIK DENGAN PENJELASAN YANG DIBUAT OLEH Y.A.BHG. TUN DR MAHATHIR MOHAMAD MENGENAI KEPERLUAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (DALAM BLOG CHE DET). SAYA MEMINJAM ARTIKEL INI DALAM BLOG SAYA UNTUK KITA KONGSIKAN BERSAMA)

 

1. Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya.


2. Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum.


3. Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya bediri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.

 

4. Kita diberitahu Nabi bersabda “Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China”. Apakah dapat orang Arab tuntut ilmu orang Cina tanpa mempelajari bahasa Cina, lisan dan tulisan, terlebih dahulu?


5. Kita juga tahu orang Arab telah menguasai ilmu Sains, Matematik dan falsafah yang diterokai oleh orang Yunani (Greek) dan menterjemahkan ilmu-ilmu ini ke dalam bahasa Arab sebelum kaji selidik dilakukan untuk memperluaskan ilmu-ilmu ini.


6. Semasa bangsa-bangsa yang beragama Islam iaitu Arab, Turki, Uzbek dan lain-lain berjaya bangunkan tamadun Islam yang gemilang, bangsa-bangsa Eropah berada “di zaman gelap”, zaman mereka tidak berilmu dan percaya kepada kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam.


7. Pada abad ke-15 Masehi, orang Eropah yang berkurun-kurun kagum dengan tamadun orang Islam mula sedar akan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi yang dimiliki orang yang berbahasa Arab serta sumbangan ilmu-ilmu ini kepada tamadun gemilang Islam. Paderi-paderi Kristian Eropah belajar bahasa Arab untuk mendapat akses kepada ilmu-ilmu yang berada dalam kutub-khanah milik Arab dan orang Islam lain.


8. Mereka mempelajari semua ilmu-ilmu ini dalam bahasa Arab dan menterjemahkan kedalam bahasa Latin, dan kemudian kepada bahasa-bahasa Eropah. Kemudian mereka pula membuat kajian dan memperluaskan semua ilmu-ilmu ini. Maka terdirilah tamadun Eropah yang terus maju hingga ke zaman sekarang.


9. Yang jelas daripada sejarah ialah penguasaan ilmu yang ada pada bangsa lain bermula dengan penguasaan bahasa bangsa-bangsa ini.


10. Apakah kita tidak mungkin mengadakan segelintir daripada orang Melayu mempelajari bahasa ilmu di zaman ini, iaitu bahasa Inggeris supaya mereka dapat menterjemahkan ilmu-ilmu ini kepada bahasa Melayu. Dengan itu orang Melayu lain boleh kuasai ilmu-ilmu ini dalam bahasa Melayu, tanpa mempelajari bahasa Inggeris.

11. Malangnya keadaan sekarang tidak seperti abad ke-15 dan sebelumnya. Ilmu di zaman dahulu terhad, dan tidak bertambah dengan pesat.


12. Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik yang amat penting untuk membangun dan memajukan masyarakat manusia, kembang dan bertambah dengan pesatnya. Tiap hari, tiap bulan dan tiap tahun ilmu baru yang diperbaharui sepanjang masa, diperkenalkan oleh para saintis dan pengkajiselidik kepada masyarakat dunia. Ilmu matematik terutama algorizmi dan perhitungan yang kompleks digunakan untuk mengetahui apa hasil jangka panjang daripada sesuatu teori dan untuk menentukan gerakan bintang di langit supaya kapal angkasa dapat menemui sasaran setelah berjalan berbulan-bulan.


13. Dimasa yang sama banyak ilmu baru diperkenalkan yang berasas kepada kuasa elektrik, gerakan atom, sains halus atau nano science, asas-asas fisiologi kehidupan tumbuh-tumbuhan dan makhluk Allah dan berbagai-bagai lagi.


14. Hakikatnya ialah jumlah ilmu baru dan kepantasan perkembangannya tidak dapat dikejar oleh penterjemah Melayu yang sedikit yang ada. Harus diingat untuk menterjemah tiap ilmu khusus dalam bidang Sains memerlukan bukan sahaja kefasihan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga kepakaran dalam ilmu berkenaan. Kita tidak punyai dengan mencukupi orang yang berkebolehan seperti ini. Jika ada beberapa kerat orang seperti ini mereka tidak mungkin sanggup bekerja sebagai penterjemah seumur hidup mereka.


15. Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.


16. Sesungguhnya agama kita menuntut supaya kita kuasai ilmu-ilmu ini. Sebagai orang Islam kita perlu bersedia untuk mempertahankan umat Islam. Di zaman dahulu kuda perang, pemanah, pedang dan tombak memadai untuk pertahanan.


17. Di zaman ini kita perlu kereta perisai, meriam dan roket, pesawat pejuang dan pengebom, kapal perang dan kapal selam. Kita tak mungkin cipta dan bina semua ini tanpa ilmu sains dan matematik. Kita boleh beli daripada orang lain tetapi ini bermakna kita letak diri kita di bawah cengkaman mereka.


18. Jika kita ingin amal ajaran Al-Quran berkenaan dengan keperluan pertahanan bagi umat Islam maka penguasaan ilmu sains dan matematik perlu menjadi sebahagian daripada fardhu kifayah bagi kita. Ia bukan ilmu sekular seperti diperkata sesetengah orang. Ia adalah sesuatu yang diwajib keatas diri kita.


19. Jika kita abaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih utamakan bahasa kita, dan dengan itu kita jadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita tidak boleh dakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama. Orang yang rela bangsanya dihina tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.


20. Bagi saya pejuang bangsa yang betul-betul bersemangat perlu bermatlamat untuk menjadikan bangsanya bermaruah, dihormati oleh semua bangsa lain dan berkebolehan bersaing dalam apa juga bidang dengan kemungkinan berjaya.


21. Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti kata sebenar.


22. Bahasa jiwa bangsa. Tetapi ilmu menentukan keselamatan dan maruah bangsa.

KENAPA AGAKNYA MARAH SANGAT….

October 10, 2008

 

Assalamualaikum,

 

Ayahanda Tun Mahathir negarawan ulung Negara. Semua orang tahu. Bagi ahli-ahli UMNO, Ayahanda Tun juga dianggap pemimpin UMNO paling hebat dan berkaliber. Kata-kata Ayahanda Tun seperti keramat dan sentiasa dipatuhi, bukan sahaja oleh orang Melayu, malah seluruh rakyat Malaysia. Pandangan dan kritikan Ayahanda Tun sangat diberi perhatian bukan sahaja oleh seluruh pemimpin kaum di Malaysia malah menjangkau ke seluruh dunia, sehingga ramai pemimpin dunia yang kagum dengan keberanian Ayahanda Tun, menegur dan mengkritik ‘Polis Dunia’ yang suka mengambil tindakan sewenang-wenangnya.

 

Kritikan Ayahanda Tun sejak Pak Lah mengambil alih teraju kepimpinan Negara saya anggap berjaya dan berkesan. Mungkin tsunami politik ketika PRU12 salah satu bahana dari kritikan tersebut. Paling terkini, akhirnya Pak Lah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan melaksanakan peralihan kuasa pada Mac 2009. Saya secara peribadi juga menyokong tindakan yang diambil oleh Pak Lah untuk menyegerakan proses peralihan kuasa tersebut, demi pengukuhan UMNO dan kerajaan.

 

Saya sangat menghormati Ayahanda Tun, cara berfikir, ketegasan dan wawasan jauh yang Ayahanda Tun miliki. Bagi saya tidak semua pemimpin mempunyai daya fikir yang begitu. Saya sedih bila Ayahanda Tun mengumumkan untuk keluar dari UMNO. Sedihnya saya kerana ia akan menamatkan sokongan saya kepada Ayahanda Tun, kerana prinsip saya, saya akan sokong pemimpin yang menjadi idola saya selagi ia masih bersama UMNO, jika ia keluar bermakna ia menamatkan sokongan saya. Namun keputusan Ayahanda Tun untuk kembali menyertai UMNO amat menggembirakan saya. Saya sangat teruja ketika mendengar Ayahanda Tun ingin kembali bersama UMNO, kerana ia akan mengembalikan semula sokongan saya pada Ayahanda Tun.

 

 

Strategi Ayahanda Tun sudah Berjaya, mendesak Pak Lah berundur awal, namun saya sedikit terkilan dengan kenyataan Ayahanda Tun baru-baru ini yang meminta agar Pak Lah jangan banyak cakap sehingga proses peralihan kuasa pada Mac 2009. Bagi saya Ayahanda Tun keterlaluan. Ayahanda Tun tak punyai hak dan kuasa untuk meminta Pak Lah berbuat demikian. Ayahanda Tun kena ingat, hari ini hingga Mac 2009, Pak Lah masih seorang Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Pak Lah masih wajib melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya. Bagi saya, biarlah Pak Lah melaksanakan beberapa lagi perancangannya sebelum berundur, supaya tidak menyukarkan sangat penggantinya. Kita wajar beri ruang yang secukupnya kepada Pak Lah. Kesediaannya berundur merupakan hadiah dan pengorbanan paling berharga untuk kita semua, UMNO dan Malaysia. Biarlah Pak Lah merasa puas dan tenang selepas pengundurannya. Sabarlah Ayahanda Tun, janganlah dinyalakan lagi api kemarahan Ayahanda Tun kepada Pak Lah, simpan sedikit kesabaran itu, tidak lama pun Mac 2009 itu, hanya tinggal kira-kira 5 bulan sahaja, berbanding Ayahanda Tun ketika menjadi Perdana Menteri hampir 22 tahun. Sabar Ayahanda Tun, kerana sabar itu sebahagian daripada Iman.

 

Wassalam.

MAC 2009 – DETIK BERSEJARAH UMNO

October 9, 2008

Setelah sekian lama tidak dipertandingkan, akhirnya Mac 2009 bakal menyaksikan semua kerusi Majlis Tertinggi UMNO Malaysia menyaksikan pertandingan sengit antara tokoh dan para pemimpin UMNO bagi mengisi kekosongan kerusi-kerusi tersebut. Persaingan paling menarik pastinya memfokus kepada kerusi PRESIDEN UMNO, TIMBALAN PRESIDEN UMNO DAN 3 NAIB PRESIDEN UMNO serta kemunculan pemimpin-pemimpin muda yang menawarkan diri sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

 

Saya melihat senario ini sebagai sesuatu reform paling menarik dalam sejarah pemilihan anggota Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Lebih membanggakan saya, kemunculan dan keberanian pemimpin-pemimpin muda yang menawarkan diri, memberi isyarat bahawa UMNO sudah cukup bersedia untuk bangkit mendepani cabaran getir yang sedang menanti dihadapan, disamping ia merupakan satu proses tranformasi sihat yang sedang dilalui oleh UMNO.

 

Cuma harapan saya, jangan ada hendaknya proses pujuk memujuk dan tekanan dari mana-mana pihak yang cuba menghalang atau memaksa calon-calon menarik diri dari menyertai persaingan tersebut. Biarkanlah calon-calon melalui cabaran pertama dalam persaingan, sebelum mereka memikul amanah besar untuk menggempur cabaran lain yang lebih getir dan mencabar.

 

Isu-isu seperti pertandingan boleh melemah dan memecah belahkan UMNO sudah menjadi alasan lapok yang sudah tidak lagi rasional untuk digembar-gemburkan. Tempoh sekian lama tanpa pertandingan juga menyaksikan UMNO berpecah. Bagi saya soal perpecahan itu sebenarnya bukan kerana pertandingan, tetapi kerana sikap rakus sebahagian pemimpin UMNO yang tidak sedar diri dan lebih mementingkan peribadi.

 

Apapun persaingan kali ini pasti menarik dengan kedudukan yang hampir pasti Dato’ Seri Najib bakal menawarkan diri sebagai PRESIDEN UMNO. Hampir pasti beliau akan dicabar oleh tokoh lama dalam politik UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah. Soal mana lebih berwibawa, terpulang pada perwakilan kelak. Bagi saya kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, Cuma sedikit kelebihan pada Dato’ Seri Najib, beliau Timbalan Perdana Menteri dan mempunyai perancangan politik yang sangat strategik, selain memiliki rangkaian hubungan yang akrab dengan dunia luar. Harus diingat, Presiden UMNO, bakal ditabal menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya percaya, kredibiliti Dato Seri Najib jika ditabal sebagai Perdana Menteri, mampu mengembalikan semula kekuatan UMNO dan sokongan kepada Barisan Nasional. Wibawa Najib cukup terserlah, beliau pernah ditabal sebagai Menteri Besar paling muda di negeri Pahang dan rentetan pengalamannya meniti perjuangan parti sangat berharga dan menjadi asas mantap untuk mengemudi Negara.

 

Saya juga yakin, wibawa Najib sebagai Perdana Menteri kelak mampu menggentarkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kerana itu, sebelum ini Najib diserang habis-habisan oleh Anwar dengan tujuan untuk menjatuhkannya, kerana Anwar sedar, Najib bukan sembarangan ahli politik. Terbukti serangan Anwar tumpul dan Najib masih kebal dengan kedudukannya, malah bakal mengambil alih teraju kepimpinan Negara.

Selain persaingan kerusi Presiden UMNO, persaingan Timbalan Presiden UMNO juga dilihat jauh lebih menarik perhatian perwakilan. Kerusi yang lazimnya bakal menobatkan Timbalan Perdana Menteri ini, dikhabarkan sudah diintai oleh 4 orang calon setakat ini. Yang sudah awal-awal menawarkan diri ialah Dato’ Haji Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nur Jazlan Mohamad (anak Tan Sri Mohammad Rahmat), dan dijangka turut serta dalam persaingan ini ialah dua orang tokoh yang pernah belayar sekapal dalam ‘Team Wawasan’, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Perdagangan Antarabangsa. Saya belum berminat untuk membuat analisis terhadap keempat-empat pemimpin ini, walaupun sudah tergambar difikiran saya sejauh mana kemampuan calon-calon ini. Biarlah mereka semua mengesahkan dulu penyertaan mereka dalam pertandingan ini.

 

Tiga kerusi Naib Presiden UMNO juga turut menjadi rebutan. Dikhabarkan semakin ramai calon yang menawarkan diri. Antara yang disebut-sebut ialah Datuk Seri Ali Rustam (penyandang jawatan), Tan Sri Isa Samad akan membuat ‘comeback’, Tan Sri Rahim Tamby Chik, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Dato’ Seri Shahidan Kassim, Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein dan beberapa nama lagi yang akan menawarkan diri.

 

Secara peribadi, saya sangat puas melihat perkembangan terkini pemilihan pucuk pimpinan Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Inilah satu perkembangan sihat dalam menyuburkan proses demokrasi dalam UMNO. Adalah sangat diharapkan agar pemilihan semua jawatan ini akan berterusan sampai bila-bila tanpa ada sebarang usul atau sekatan untuk pengecualian pertandingan. Biarlah akar umbi yang menentukan tampuk kepimpinan UMNO, jangan lagi Majlis Tertinggi menjadi penentu siapa Presiden dan Timbalan Presiden. Hormati hak ahli, kerana mereka mampu menentukan kepimpinan hebat UMNO.

AKHIRNYA…

October 9, 2008

AKHIRNYA…Pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri dan Timbalannya yang dicadangkan pada Jun 2010 sekadar tinggal kenangan.

 

AKHIRNYA…Keyakinan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan kehendak sebenar akar umbi yang mahukan peralihan kuasa lebih awal, semakin menjadi kenyataan.

 

AKHIRNYA…Tanggal 8 Oktober 2008, teka-teki mengenai kedudukan Presiden UMNO telah terjawab kira-kira jam 5.20 petang, selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di PWTC.

 

AKHIRNYA…Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden UMNO, YAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac 2009.

 

AKHIRNYA…Desakan dan tekanan dari Tun Dr. Mahathir dan pemimpin tertinggi UMNO kepada Perdana Menteri, selepas prestasi buruk Pilihan raya ke 12 berjaya membuatkan Presiden UMNO itu menarik diri dari mempertahankan jawatannya.

 

AKHIRNYA…Membuktikan bahawa kuasa akar umbi lebih kuat dan berpengaruh dari status dan kedudukan seseorang. Jadi ia mengingatkan kepada sesiapa sahaja pemimpin selepas ini, jangan pandang enteng kuasa yang dimiliki oleh akar umbi.

 

AKHIRNYA…YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, nama yang disebut-sebut bakal Perdana Menteri, bakal mengambil alih teraju pemerintahan negara selepas beliau memenangi jawatan Presiden UMNO pada Mac 2008.

 

AKHIRNYA…Selepas Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi mengumumkan keputusannya, maka barulah kita mendengar berbagai-bagai pujian kepadanya dengan kenyataan-kenyataan berikut :

 

1.    Ia satu pengorbanan yang cukup besar kerana bukan mudah untuk menyerahkan kepimpinan

 

2.    Beliau telah mengambil kira daripada semua sudut apa yang harus dilakukan dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi

 

3.    Keputusan Abdullah itu adalah sesuatu yang berani, ikhlas dan berjiwa besar

 

4.    Memperlihatkan beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar kerana meletakkan kepentingan parti dan rakyat melebihi kepentingan sendiri

 

5.    DAN AKHIRNYA…kita semua berharap agar semua tindakan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat itu lahir dari tawadu’ dan keikhlasan kepimpinan UMNO untuk melihat parti ini mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional.

SELAMAT BERSIDANG

October 8, 2008

Persidangan UMNO Bahagian Kapar bermula pada 10 Oktober 2008 ini. Pergerakan Pemuda mendahului persidangan pada 10 Oktober 2008 bermula jam 8.30 malam bertempat di Hotel Goldcourse Klang. Walaupun ada kalangan perwakilan Pemuda yang mengkritik berhubung masa persidangan yang dibuat pada waktu malam, ditambah dengan proses pengundian untuk memilih kalangan Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian yang baru, hingga dijangka akan mencecah ke awal pagi, namun itu bukanlah satu alasan sangat. Persidangan ini antara lain bertujuan untuk menguji sejauh mana ketahanan dan kemantapan semangat Pemuda untuk mendepani  dan mengemudi cabaran UMNO yang lebih getir, berbanding perlu berjaga sehingga awal pagi menghadiri persidangan dalam tempoh 3 tahun sekali. Bagi saya, persidangan malam, pagi atau petang bukanlah soal pokok bagi pemuda, kerana Pemuda UMNO Kapar sudah biasa berjegang mata hingga ke pagi memperjuangkan kepentingan parti.

 

Namun perkara paling penting dalam persidangan Pemuda kali ini ialah, tumpuan pemuda terhadap usul yang akan dibentangkan iaitu USUL POLITIK. Saya melihat inilah usul paling penting dalam semua persidangan yang akan dilalui oleh UMNO Bahagian Kapar, kerana usul ini dibentang selepas tsunami politik yang melanda negara selepas PRU12. Sangat diharapkan, agar usul ini mampu dibahaskan dengan sebaiknya oleh pemuda, bagi memastikan resolusi dari perbahasan tersebut mampu menghasilkan keputusan terbaik demi UMNO dan Barisan Nasional.

 

Selain persidangan pemuda yang diadakan pada malam 10 Oktober 2008, difahamkan juga Pergerakan Wanita UMNO akan mengadakan persidangan mereka pada 11 Oktober 2008 (pagi) sementara Pergerakan Puteri UMNO pada sebelah petang hari yang sama. Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kapar dijangka akan diadakan pada 2 November 2008 di Hotel Goldcourse.

 

SELAMAT BERSIDANG…

UMNO…DULU, KINI DAN SELAMANYA….