Archive for June, 2008

KAPAR LEMBAB…LAMBAT

June 19, 2008

Terkedu gak saya bila seorang kawan menelefon dengan penuh emosi dan mengatakan…”apa ko nak sibuk-sibuk sangat ni dengan blog bicarakapar, ahli-ahli UMNO di Kapar ni tau ke nak berblog”. Isshhh…jangan cakap macam tu, kata saya, mungkin blog ni satu benda baru di Kapar, yang penting kita mula beri pendedahan.

 

Menurutnya lagi, sebahagian ahli-ahli UMNO di Kapar ni lebih sibuk dengan pemilihan bahagian, katanya “ sibuk sangat buat team sana, team sini, jumpa Ketua Cawanganlah, diorang tak tau ke kapal UMNO ni dah nak karam, tak ikut perkembangan langsung”, rungut kawan saya itu.

 

Kadang-kadang bila difikir, betul gak. Pemilihan UMNO Bahagian ni jadikan sebahagian ahli lupa daratan. Masing-masing sibuk menawarkan diri, tanpa membuat servey, ada sokongan atau tidak. Setakat bersandar pada kehebatan yang diiktiraf sendiri, bagi saya baik lupakan saja hasrat tersebut. Kalau setakat menawarkan diri untuk test market, kut-kut ada sokongan, pemimpin tu jenis yang tiada wawasan langsung, baik undur awal-awal, supaya tak menyusahkan UMNO nanti. Bagi saya yang penting bukan individu, tapi UMNO itu sendiri.

 

Sejak kebelakangan ini, semakin terasa hangatnya, sudah mula ada propaganda melabel orang itu penyokong calon ini dan sebagainya. Sudah ada calon-calon yang mula gabra. Bagi saya apa nak takut sangat, kalau kita rasa perkhidmatan kita selama ini ikhlas untuk membantu UMNO dan orang Melayu, insyaallah, jasa kita akan dikenang orang. Tapi kalau setakat cakapnya saja berdegar-degar, tapi habuk pun tarak…faham-faham ajalah. Sementara bagi yang dah lama sangat tu, cukupla…beri peluang pada yang lain, yang lebih agresif, muda dan banyak idea. Jawatan dalam UMNO ni bukan untuk seumur hidup. Janganlah sampai nak kena pancung baru nak turun. Kan lebih baik berundur dengan cara terhormat. Berundur bukan kerana kalah, tetapi kerana sayangkan UMNO dan bangsa Melayu. Barulah kita boleh maju di masa hadapan. Wassalam dan renungkan.

Advertisements

PANAS DALAM SEPI

June 18, 2008

Assalamualaikum

 

Dalam senyap dan sepi…, rupanya di Bahagian Kapar masing-masing sedang bergerak secara senyap mengadakan perjumpaan bersama-sama Ketua Cawangan, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri. Masing-masing sedang melobi menawarkan diri samada untuk menganggotai kepimpinan UMNO Bahagian, Pemuda, Wanita, Puteri maupun 7 orang perwakilan ke Persidangan UMNO Malaysia. Maklumlah, pada Disember nanti ada pemilihan peringkat pusat…tu yang nampaknya agak meriah sikit lobi melobi pada tahun ini.

 

Dalam banyak-banyak hal melobi ni, saya tertarik dengan info dari seorang rakan yang menyatakan terdapat satu pasukan yang bakal menggegar di UMNO Bahagian Kapar. Pasukan ini dipimpin oleh salah seorang veteran UMNO yang namanya cukup hebat satu ketika dulu. Fakta menarik pasukan ini ialah mereka meletakkan benchmarking pasukan ini yang bakal mengepalai kepimpinan UMNO Bahagian Kapar sekurang-kurangnya mempunyai kelayakan dan kelulusan peringkat diploma atau kesimpulannya individu yang mempunyai latar pendidikan yang baik.

 

Secara peribadi, saya melihat pendekatan ini amat baik bagi masa depan dan survival UMNO, khususnya di Bahagian Kapar, walaupun sepatutnya ia telah dilaksanakan sejak lama dulu, apapun tahniah pada pasukan ini yang mempunyai kesedaran tentang pentingnya UMNO dibina semula, bagi memastikan ia terus kukuh dan mampu bersaing serta menarik keyakinan rakyat untuk kembali kepada UMNO.

 

Apapun saya berdoa agar pasukan ini terus konsisten dengan visi dan misinya. Soal menang atau kalah janganlah dijadikan agenda utama, tetapi yang lebih penting adalah perkhidmatan yang bakal disumbangkan selamanya.

KEMPEN BERHEMAH

June 17, 2008

Pemilihan peringkat UMNO Bahagian yang dijadualkan pada Oktober akan datang bakal menyaksikan calon-calon dibenarkan berkempen. Peraturan ini merupakan antara kandungan Tata Etika Baru Ahli UMNO yang dijelaskan oleh Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Calon dibenarkan berkempen dengan syarat ia diuruskan oleh Majlis Tertinggi (MT) atau Badan Perhubungan UMNO Negeri, dan setiap kempen juga perlu dijalankan secara tertib dan tidak melampaui batas.

Saya berpendapat, kelonggaran ini satu langkah proaktif yang diambil oleh UMNO dalam usaha untuk memastikan setiap calon yang bakal menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin di peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi mempunyai karisma dan kredibiliti ke arah menarik semula sokongan rakyat, khususnya orang Melayu kembali bersama perjuangan UMNO.

Sehubungan itu, dalam konteks ini, pemimpin yang berwibawa amatlah perlu untuk merancang dan melaksanakan segala agenda UMNO agar parti ini akan terus digeruni dan disegani kawan dan lawan. Pastinya dengan peraturan baru ini juga, kita akan mampu menampilkan barisan kepimpinan yang lebih yakin dan berani untuk berhadapan dengan khalayak, dan rasanya dalam senario politik hari ini, pemimpin yang sekadar menjadi ‘Yes man’ atau ‘Ok Boss’ atau sekadar hadir mesyuarat bagi mencukupkan korum sahaja sudah tidak diperlukan lagi. Apa yang penting, pemimpin mesti berani menyuara dan memperjuangkan sesuatu demi kepentingan dan keperluan rakyat, bukan sekadar pemimpin yang sentiasa mengiakan apa sahaja kerana mereka berkepentingan.

Ayuh, kita segarkan kembali budaya demokrasi dalam UMNO dan kita kembali meremajakan UMNO. Cabaran di hadapan kita sangat getir, hanya yang berani dan tabah sahaja mampu mengharungi cabaran tersebut. Paling penting elakkan emosi dalam berpolitik, tetapi banyakkan pertimbangan dan toleransi kerana kita akan dilihat lebih matang. Salam Perjuangan.

UMNO PERLU KEPIMPINAN MUDA

June 17, 2008

Salam Perjuangan…,

 

Bermula Julai hingga Disember 2008, UMNO bakal digegar dengan suara-suara reformasi yang inginkan perubahan dalam kepimpinan, sama ada di peringkat Cawangan, Bahagian mahu pun Majlis Tertinggi (MT). Perubahan ini dituntut bagi memastikan UMNO terus segar, remaja, agresif dan proaktif dalam memperjuangkan nasib dan kepentingan Melayu secara total, lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini banyak berbangkit isu-isu yang seolah-olah meminggirkan kepentingan dan hak istimewa orang Melayu.

 

Saya ada menerima pandangan dari beberapa rakan dalam UMNO yang menyebutkan bahawa UMNO hari ini sudah semakin jauh menyimpang dari asas perjuangannya yang sebenar. UMNO sudah semakin lemah dalam memperjuangkan kepentingan dan hak Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya. UMNO sudah tidak dilihat prihatin dengan kepayahan yang sedang dihadapi oleh rakyat negara ini, menjadikan rakyat terbeban dan hidup tertekan, khususnya dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dengan kadar pendapatan bulanan yang rendah. Isu ini masih belum mendapat pembelaan sepenuhnya oleh UMNO, hingga ada yang berkata, “ apa parti keramat ini buat untuk membela kami, adakah keramat UMNO sudah hilang, hingga langsung tidak berkemampuan untuk berbuat apa-apa”.

 

Lebih sinis lagi, bila ada suara-suara dalam UMNO sendiri yang memperkatakan bahawa UMNO hari ini lebih bersikap YES BOS!, hanya mengangguk dan mengiakan segala keputusan kerajaan tanpa sebarang protes dan bantahan membina. Hari ini ramai yang berpendapat, bahawa seolah-olah keputusan kerajaan itu juga merupakan keputusan UMNO, sedangkan sewajarnya persepsi ini mesti dikeluarkan dari kepompong pemikiran rakyat. Kerajaan hari ini bukan milik UMNO, tetapi milik Barisan Nasional dan Barisan Nasional itu bukan UMNO. BARISAN NASIONAL merupakan sebuah gagasan yang menggabungkan lebih 14 buah parti komponen yang terdapat di negara ini, dan diketuai oleh UMNO. Tanggapan Barisan Nasional itu UMNO dan UMNO itu Barisan Nasional adalah fahaman dangkal dan tidak rasional. Atas alasan itulah, ada yang berpendapat bahawa tidak menjadi salahnya kalau UMNO turut serta menjadi pengkritik dan pembela kepada rakyat, jika ada keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan, tidak memihak dan membebankan rakyat.

 

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, maka wajarlah UMNO hari ini perlukan lebih ramai kepimpinan muda yang lebih berani, agresif, berpendidikan dan mempunyai semangat juang yang kental, kerana cabaran di hadapan UMNO hari ini amat getir dan memerlukan tenaga super yang rela berkorban demi kepentingan Agama, Bangsa dan Negara. Wassalam.

KENAPA MENGHILANG….

June 17, 2008

Assalamualaikum,

 

Tanggal 9 Jun 2008, seorang rakan dari Kapar menghubungi saya, “saudara dah melawat blog bicarakapar.wordpress.com”. Saya menjawab tak tahu pun ada blog tersebut. Namun selepas itu, saya mula melayari blog tersebut. Eerrmmm…agak menarik juga dengan berbagai berita, propaganda dan cerita-cerita nakal yang disertakan dengan emosi penulis.

 

Fasa pertama mengunjungi blog tersebut saya sekadar membaca sahaja, lalu beralih ke blog lain. Tiga hari selepas itu, saya kembali melayari blog bicarakapar tersebut, namun mendukacitakan kerana pengendali blog tersebut telah menamatkan perkhidmatannya. Kenapa….???.

 

Tekanan atau kurang keberanian untuk bertanggungjawab terhadap isu-isu yang dibangkitkan, menjadikan pengendali berundur diseparuh perjuangan, atau bimbang segala data dan propaganda yang dicatatkan sekadar cerita kosong dan mungkin ada pembeli dibelakangnya, bertujuan untuk memburukkan individu tertentu bagi kepentingan seseorang.

 

Saya agak kecewa dengan penamatan blog itu. Bagi saya sekurang-kurangnya biarlah blog tersebut terus wujud dengan lebih bertanggungjawab dan jadi forum serta ruang sembang seluruh warga UMNO Kapar. Apapun akhirnya saya mengambil inisiatif ini, dengan mewujudkan blog bicarakapar2.wordpress.com untuk menjadi ruang bualan kita bersama, berkongsi pengalaman dan perancangan dalam usaha mengembalikan semula kekuatan UMNO Bahagian Kapar. Berilah pandangan yang membina dan bertanggungjawab dan janganlah jadikan blog ini untuk menjatuh dan memburukkan peribadi orang lain, kerana itu bukan tuntutan Islam sebenar. Salam Perjuangan. Wassalam.

Hello world!

June 13, 2008

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!