Archive for June 23rd, 2008

TOLAK CAI…STYLE LAMA

June 23, 2008

Setiap kali bila ada pemilihan dalam UMNO, akan muncullah istilah group, team, kapal dan yang paling kesiannya pada hari Mesyuarat Perwakilan tersebut, terutama jika ada pemilihan pimpinan keluarlah satu istilah yang dinamakan Cai, yang menyenaraikan kabinet bayangan khususnya bagi kelompok-kelompok tertentu yang menawarkan diri bertanding untuk pimpinan peringkat Bahagian. Inilah budaya ortodok dalam UMNO, walaupun usia UMNO sudah 62 tahun, Cai masih menjadi amalan ahli-ahli UMNO hingga sekarang. Sebab itu saya katakan ‘kesian’ dengan ahli-ahli UMNO yang begini. Negara sudah merdeka 51 tahun, tetapi cara berfikiran masih tetap mundur.

 

Atas dasar kesedaran itulah, saya sangat setuju dengan konsep reform yang mesti dilaksanakan dalam UMNO sendiri. Jangan lagi menganggap perwakilan UMNO tidak matang. Tempoh 62 tahun itu sudah terlalu matang bagi UMNO. Ahli-ahli, perwakilan dan para pejuang UMNO sudah sangat bijak untuk menentukan mana intan dan mana kaca, siapa pemimpin sebenar dan siapa penumpang, mana pejuang dan mana pembodek. Mereka tahu siapa yang perlu dipilih. Tidak perlu disogok dengan Cai pada hari pemilihan, cukup sekadar menyenaraikan semua calon yang menawarkan diri dan aturlah kaedah berkempen yang disarankan oleh Majlis Tertinggi secara telus dan jujur. Kalau kita memang memenuhi kriteria yang diperlukan oleh perwakilan, saya yakin perwakilan akan meletakkan setiap calon ditempat yang sewajarnya.

 

Bagi yang masih totok dengan cara Cai, kalian sebenarnya tidak punyai wibawa dan pengaruh, kalian sekadar menumpang atau memegang kaki pemimpin lain untuk turut serta dalam kapal tersebut, dan bakal menjadi pengikut YES BOS atau OK BOS bila setiap kali mesyuarat atau melaksanakan program.

 

Kepada semua perwakilan, ayuh kita fikirkan sejenak sebelum membuat keputusan, saya selalu mengingatkan diri saya, bahawa kelak kita akan ditanya siapa pemimpin yang kita pilih. Mari kita lupakan berbagai Cai yang bakal menghujani kita pada hari pemilihan, tetapi kita gunakan sepenuhnya kematangan dan kebijaksanaan kita untuk menentukan barisan pimpinan yang bakal mengemudi UMNO Bahagian Kapar kemercu kejayaan.

 

Ayuh kita sematkan dalam diri kita, kita memilih pemimpin bukan kerana kawan, tetapi kerana wibawa dan kepimpinannya. Selamat Bersidang dan Salam Perjuangan.

Advertisements